SEREMBAN: Penyelia dan pembantu sebuah pusat pemulihan dadah di Nilai yang didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pelatih lelaki pusat itu bulan lalu, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa.

Tertuduh M Jason Jai Ganesh, 48, dan Kelvin Raymond, 26, mengubah pengakuannya di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi ketika prosiding sebutan semula untuk serahan laporan perubatan dan hukuman yang ditetapkan pada hari ini.

Berdasarkan pertuduhan tertuduh bersama-sama dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki berusia 38 tahun menggunakan senjata sebatan paip PVC.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 19 Mac lalu jam lebih kurang 11 pagi di dalam sebuah pejabat pengurusan pusat pemulihan di Lenggeng, Nilai.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syamini Farhana Muhammad A Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Patrick Samuel.

Patrick dalam rayuannya memohon mahkamah menawarkan wang jaminan yang rendah berikutan kedua-dua ibu bapa tertuduh tidak bekerja dan mereka berasal daripada keluarga yang miskin.

Meor Sulaiman kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jun ini bagi sebutan semula kes. - Sinar Harian